Monday, August 16, 2010

PERKEMBANGAN SOSIOEMOSI

       Setiap kanak-kanak melalui proses sosialisasi di mana ianya berlaku dalam persekitaran sosialnya. Persekitaran sosial yang dimaksudkan adalah keluarganya sendiri, saudara mara, jiran, pengasuh dan juga segala yang terdapat di sekelilingnya. Melalui pengalaman yang diperoleh dari proses sosiolisasi ini, seseorang kanak-kanak akan mencapai perkembangan emosi. Tahap perkembangan emosi ini bergantung kepada pengalaman dan persekitaran sosial yang dialaminya.
       Menurut Kamus Pelajar  Edisi Pertama, sosial bermaksud semua hal yang berkaitan dengan masyarakat atau kemasyarakatan. Manakala Kamus Dewan Edisi Ketiga pula menakrifkan sosial sebagai segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Ahli psikologi dan fisiologi berpendapat bahawa emosi melibatkan perasaan, gerak hati, tindak balas fisiologi dan pernyataan emosi. Emosi boleh dikategorikan dalam beberapa bentuk iaitu gembira, sedih, takut, marah dan lain-lain. Tahap emosi juga pelbagai dan secara umumnya emosi dikelaskan sebagai emosi positif seperti gembira, teruja dan girang. Manakala emosi negatif pula adalah seperti marah, sedih, kecewa dan lain-lain. Oleh itu, sosioemosi di kalangan kanak-kanak dapat ditakrifkan sebagai satu proses berinteraksi dan mengadaptasikan diri dalam masyarakat.
       Perkembangan sosio-emosi khususnya adalah keupayaan kanak-kanak untuk berinteraksi serta memberi tindak balas emosi terhadap sesuatu situasi atau keadaan. Ianya dapat dilihat melalui kelakuan kanak-kanak. Ianya dikategorikan sebagai tingkah laku positif dan tingkah laku negatif. Tingkah laku yang positif merujuk kepada berkongsi, berdikari, mengikut peraturan dan lain-lain. Manakala tingkah laku negatif merujuk kepada bergaduh, mengasingkan diri, dan menggigit.
       Belajar melalui bermain dapat menyumbangkan kepada pelbagai aspek perkembangan seseorang kanak-kanak. Contoh permainan yang menyumbangkan kepada perkembangan sosioemosi kanak-kanak ialah yang berkonsepkan main peranan. Antaranya ialah berurus niaga (ambil pesanan makanan), bermain bola dalam bulatan, ekspresi wajah dan lain-lain. Melalui permainan ini, kanak-kanak akan belajar bagaimana untuk menjalinkan perhubungan sosial. Selain itu, mereka akan belajar cara untuk bekerjasama dan bertolak ansur. Ini dapat dilihat melalui cara mereka bermain. Di sampinng itu, mereka juga akan belajar untuk saling menegur dan menasihati.
        Perkembangan sosioemosi membolehkan seseorang kanak-kanak dapat mengurus dan memahami emosi sendiri, mencapai emosi yang positif, membina kemahiran sosial dan membina keyakinan untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan harian.

Oleh : Noor Azima Mohd Noor 102516

1 comment: