Monday, August 16, 2010

MASALAH PERDAGANGAN KANAK-KANAK

     Dewasa ini, kita sering diperlihatkan oleh pihak media mengenai masalah pemerdagangan manusia di dalam mahupun luar negara.Laporan surat khabar utusan malaysia edisi 29 april 2010 menunjukkan bahawa hampir 27 juta penduduk dunia merupakan mangsa pemerdagangan manusia.Mangsa yang paling tinggi terlibat dalam kes ini merupakan kanak-kanak.Banyak faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku kepada manusia terutamanya
kanak-kanak.

     Antara faktornya ialah terdapat pihak yang ingin mencari gadis-gadis muda untuk dijadikan pelacur.Hal ini  disebabkan perniagaan pelacuran memberikan pulangan yang lumayan kerana bayaran yang dikenakan kepada setiap pelanggan amat tinggi bagi setiap langganan.Situasi ini menyebabkan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan ini untuk kepentingan dirinya sendiri dengan memperdagangkan atau menjual kanak-kanak kepada sindiket pelacuran.

   Faktor lain pula ialah terdapat pihak yang ingin menjadikan kanak-kanak ini sebagai buruh paksa atau bekerja tanpa gaji.Sebagai contoh kanak-kanak ini dipaksa menjadi pengemis atau penjaja-penjaja di kawasan  tumpuan orang ramai seperti di Jalan Bukit Bintang bagi mendapatkan wang untuk sindiket pemerdagangan ini yang hanya memperalatkan kanak-kanak sebagai sumber kewangan mereka.

    Permintaan daripada manusia itu sendiri terutamanya bagi keluarga yang tidak mempunyai cahaya mata merupakan salah satu faktor berlakunya masalah pemerdagangan ini. Permintaan yang tinggi dari golongan yang tidak mempunyai anak ini dijadikan peluang oleh sindiket ini bagi mendapatkan wang dengan cara yang mudah.Di atas permintan yang tinggi ini telah menjadi pendorong kepada sindiket ini untuk menculik dan menjual kanak-kanak kepada golongan yang memerlukan bagi mendapatkan pulangan yang lumayan.

     Masalah ini perlu ditangani kerana akan memberi kesan kepada kanak-kanak itu sendiri kerana perbuatan ini akan menggelapkan masa depan kanak-kanak ini yang mana golongan ini mampu berjaya sekiranya diberi didikan dan perhatian yang sewajarnya.Bukan hanya kesan kepada kanak-kanak,kegiatan pemerdagangan ini juga memberi impak negatif kepada masyarakat disebabkan masyarakat tidak dapat hidup dengan aman dan damai. Hal ini kerana mereka hidup dalam kebimbangan berikutan kerisauan mereka terhadap anak-anak mereka.

      Masalah ini dapat diatasi jika langkah pencegahan diambil.Sebagai contoh melalui penguatkuasaan undang-undang seperti mempertingkatkan hukuman terhadap pesalah yang telah disabitkan disamping pemantauan yang lebih kerap di kawasan-kawasan tumpuan kanak-kanak seperti di taman permainan.Selain itu, mengadakan kempen kepada ibubapa mengenai kepentingan pemantauan dan penjagaan rapi terhadap anak-anak agar masalah ini tidak terus berulang dan membelenggu pemikiran masyarakat.

        Ironinya,masalah ini mampu diatasi jika semua pihak berganding bahu terutamanya ibubapa itu sendiri dalam membanteras sindiket ini agar masalah pemerdagangan kanak-kanak tidak berterusan.

Oleh : Mohd Shahril bin Mohd Sharilff 206576



No comments:

Post a Comment